Wednesday, March 09, 2011

Sini Ada Hantu dan Hantu Kak Limah Balik Rumah

Hai, selamat bertemu kembali untuk posting kali kedua. Esok adalah hari pembukaan filem tempatan berskala besar Hikayat Merong Mahawangsa. Tapi TheRevuer bukan ingin menulis artikel tentang filem percubaan KRU untuk benar-benar menembusi pasaran global dengan jayanya tapi ingin mengimbas kembali filem-filem tempatan yang berjaya menarik minat TheRevuer.
Hantu Kak Limah Balik Rumah

Khurafat? Oh tidak. TheRevuer tidak mengukur kualiti dan keberjayaan sesuatu filem pada kutipan untung tiket filem. Dua filem yang TheRevuer maksudkan masih dalam kategori seram dan hantu iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) dan Sini Ada Hantu (SAH).

TheRevuer sangat meminati filem dan karya Mamat Khalid. Bukan saja kerana unsur komedi bersahaja dan lawak yang dekat dengan masyarakat tapi juga kerana selitan mesej tidak kira berunsur sosial, moral, politik atau agama - ia mengajak audiens penonton supaya berfikir secara lembut dan tidak menekan. HKLBR sangat kelakar tetapi jelas sebagai cubaan menegur masyarakat supaya jangan mengendahkan kebajikan ibu bapa, jiran, tidak obses dengan bomoh dan segala aktiviti khurafat serta jangan taksub dan pilih kasih dengan filem luar dan teknologi CGI yang memualkan.

James Lee pula seorang sutradara seperti Mamat Khalid suka mengambil pendekatan secara tidak konvensional tidak kira dalam aspek bahan cerita, olahan dan cara penyampaian. Lihat sajalah SAH, karekter-karekter hantu di dalamnya bukanlah tipikal hantu yang selalu diangkat dalam filem. Hantu Pokok Pisang dan hantu asrama selalu kita dengar tapi jarang kita lihat di dalam filem. Olahan jalan cerita mengikut bab adalah sangat kemas. 


Sini Ada Hantu
Saya kagum dengan kedua-dua filem ini kerana tidak terikut-ikut dengan filem hantu negara asing yang mendefinisikan seram sebagai kejutan bunyi. Apabila ada babak seram saja kita akan dikejutkan dengan bunyi yang kuat. Ia seperti menonton siri filem Final Destination tapi kali ini kita bukan suspen dan antisipasi kengerian kemalangan tapi bunyi kuat. Seperti filem hantu tempatan yang mengaut berjuta-juta RM sebelum ini kita bukan ditakutkan oleh lembaga hantu sebenarnya tapi kejutan kesan bunyi seram.




Setakat ini sajalah dahulu. TheRevuer akan kembali lagi. 

Adieu.

Wednesday, March 02, 2011

Seri Kata, Oscar dan The King's Speech

Salam sejahtera,

Seri kata dari TheRevuer untuk artikel atau post ulung ini dengan ulasan anugerah Oscar yang berlangsung Feb 28, 2011 lepas. Syabas dan tahniah TheRevuer ucapkan kepada seluruh kru produksi filem The King's Speech kerana berjaya memenangi 4 Oscar bagi kategori Best Picture, Best Actor, Best Director dan Best Original Screenplay.

The King's Speech
 TheRevuer terkilan dengan segelintir wartawan yang mendabik dada sebagai jurnalis profesional menyelar tidak kisah apa saja keputusan yang dibuat oleh juri Akademi - ada saja tidak kena. Contohnya:-

1. Menuduh juri Akademi bersikap pilih jalan selamat kerana mengangkat filem pilihan atau favourite sebagai pemenang;

2. Menyelar juri Akademi buta seni, kejutan atau gimik murahan, pilih kasih atau wujudnya konspirasi atau campurtangan politik jika trofi Best Picture dianugerahkan kepada filem bukan pilihan. 

TheRevuer ingin tegaskan bahawa filem yang menjadi pilihan sekalipun bukannya calang-calang. Filem ini selalunya menjadi buah mulut, mendapat ulasan baik serta memberasangkan dari pengkritik filem, pemain industri filem yang berpengalaman serta pakar dan sejarahwan filem.
Jika di Malaysia kita lebih obses dan asyik dengan jumlah kutipan pulangan keuntungan sehingga dijadikan sebagai kayu ukur kualiti sesebuah filem. Di sini nilai estetika dan artistik filem tenggelam dengan pergaduhan antara produser yang mendakwa filem mereka lebih laku, keangkuhan produser baru mencanang sekampung filemnya bakal mengutip RM40 juta, dan tidak habis-habis mengitar semula idea mistik, hantu, ilmu hitam, geng motor dan lawak spastik sebagai bahan utama, tunjang cerita.

Banyak filem tempatan yang hebat seperti karya-karya Allahyarham Yasmin Ahmad, U-Wei, sebilangan filem Afdlin Shauki - tapi malangnya filem-filem ini bukan saja tidak mendapat sambutan penonton malah tidak diiktiraf oleh badan seni negara, ditolak, ditahan filemnya dari tayangan malah tidak diterima untuk pencalonan anugerah filem negara. Mereka ini lebih dihargai oleh peminat seni dan badan seni negara luar.

Berbalik pada Oscar. TheRevuer membaca ulasan wartawan hiburan kita yang mengulas majlis anugerah Oscar ini dengan menyatakan tiada magis kerana tiada kejutan disebabkan memilih jalan selamat mengangkat filem pilihan (yang dicanang oleh pengkritik filem).

The Social Network
Tetapi tahun-tahun sebelumnya mereka mengutuk pilihan juri kerana buta seni tidak mengangkat filem pilihan yang diakui oleh pengkritik filem dan juga penonton dari sifat komersilnya.

Mereka masing-masing mendakwa The Social Network lebih berhak disebabkan menang dari segi teknikal iaitu Best Original Score dan Best Film Editing serta Best Adapted Screenplay.

City Lights
Justeru mencadangkan lakonan dan arahan adalah tidak bersifat teknikal? Adaptasi lebih baik dari karya tulen atau original? Kesan muzik atau penataan serta adunan bunyi lebih penting dari jalan cerita, susur galur plot, skrip dan dialog? Transformers lebih unggul dari City Lights (1931) dan Torrent (1926) hanya kerana ianya filem bisu?

Janganlah disebabkan kita terlalu obses dengan filem pilihan kita sehingga mengutuk filem lain yang menang dan menyelar juri yang tidak arif itu. TheRevuer tahulah sebilangan jurnalis hiburan dan pengulas filem akhbar tempatan kita ini lebih bijak, sudah masak dengan dunia filem, serba tahu tentang perfileman dan expertise-nya terlalu hebat tidak setanding dengan juri-juri Akademi di sana.

Sekian.